Ilmu & Iman
Antara ilmu dengan iman, mana datang dulu? Adakah dengan iman datangnya ilmu? Atau dengan ilmu datangnya iman?
Yang mana satu sekalipun, kenapa masih berlaku usaha untuk mendapatkan ilmu seolah-olah tiadanya iman pada dirimu? Padahal belajar jurusan agama, berada di sekolah agama, dah tu dapat A dalam subjek Pendidikan Islam berbanding aku sekadar dapat B, kemudian kau memandang hina diriku. Tidak beragamakah aku? Kerana memanglah imanku berlandaskan gred pada slip SPM sejak dulu.
Segala nasyid kau dengar, segala kisah kau tahu. Jadi aku anggap imanmu lebih utuh dari diriku. Aku anggap kau lain dari majoriti anak muda sekarang. Aku labelkan kau sebagai 'alim' dalam radarku.
Namun apabila aku melihat cara kau bersungguh-sungguh mendapatkan A itu, tanggapan aku mulai berubah. Kau tidaklah sebijak mana, tapi kau rajin malah amatlah rajin. Kau rajin meminta jawapan orang. Kau rajin membodek pensyarah. Kau lebih rela meniru demi A yang kau rasakan perlu. Kau paling kurang peduli tentang desakan yang kau berikan kerana mungkin kau kira benda tu biasa. Jadi kau hanya pandangnya sebelah mata. Kau kata aku tak layak dapat A kerana kau lebih banyak buat kerja, tapi inginku tanya semula... Adakah berani kau sumpah assignment kau 100% kau punya?
Yang hairannya, kemanakah iman itu? Kau banyak tahu. Kau suka bercerita kisah orang-orang terdahulu. Tapi kenapa caramu amat jauh dari apa yang kau sampaikan pada aku.
Sejujurnya, aku pernah fikir kau hanya bergurau. Kau tidaklah maksudkannya bila kau menyuruh aku membisikkan kau jawapan dalam dewan haritu. Atau sekurang-kurangnya kau bakal olah semula hasil kerja kelasku. Tapi salah aku memberi imej sebegitu palsu padamu. Kau mengambil jawapanku sebulat-bulatnya, kau katakan kau siap dengan bangganya. A macam manalah agaknya untuk gred ilmu apa yang kau peroleh?
Tapi satu perkara paling aku risaukan, sumber rezeki apa yang kau ingin telan? Rezeki dari apa ingin kau suap anak bini kau nanti? Hasil penat lelahnya meniru? Hasil menipu emak dengan A yang bukan sepenuhnya milikmu? Aku takut. Aku hampa. Aku sayangkan kau kawan, tapi aku merasa kalah, kerana siapalah diriku untuk menegur berkaitan sesuatu yang kau sepatutnya lebih arif daripadaku. Wallahualam. Aku berdoa akulah yang tersalah tafsir. Dan kau lebih baik dari apa yang aku kira.
Oleh itu, maaf dan semoga berjaya.
0 comments
Your thoughts are much appreciated! TQ.